Mar 24, 2020

#Self Isolation- Tempoh Berjeda


Geisha// Kenangan Hidupku
Day 7 of RMO—

Seperti sebuah hukuman tiada berpenghujung
Dipenjara diri tuntutan negeri
Kerana ia sebuah arahan—
Manusia berego kini terlihat akur
Hati yang keras, akhirnya terkujur.

Melalui ini, aku diajar untuk memberhentikan ego
Sedang dunia juga membuktikan tempohnya untuk berasa penat
Putus asa dengan kesombongan
Terkilan dengan manusia— angkuh hingga tiada mahu tunduk.

Keadaan semacam ini-
Banyak hal lain juga berubah.
Kota yang sesak kini terasa nyaman
Doa yang seluruh semesta sama-sama meng-aminkan.
Mimpi yang kini seperti berpanjangan
Patah hati semula dinilaikan.

Teringatkan aku dari Disember lalu sehingga sebelum tempoh RMO ini,
Aku terlalu sibuk menyibukkan diri
Tak mahu aku melayan pedih perih kecuali bila terjaga hujung malam.
Siang aku biarkan penat menjalar seisi susuk tubuh
Malam aku perah pecah peluh.
Lalu tidur, berlabuh
Hingga subuh.
Ulang kitaran itu sehingga semester barunya tiba.

Kalau kiranya terjaga malam- aku lempiaskan segala sapaan sesak
bercakap dengan Tuhan.
Kadang tidak, sengaja aku paksa-paksa mata suruh tidur nyenyak
Bilang ke otak- jangan dilayan.

Ada harinya aku akui
Sampai penat bilang pada susuk tubuh dalam cermin—
“Hari ini pasti okay”
“Semuanya pasti baik-baik saja”
Kemudian berlalu pergi memenuhi hari
Ya, seperti tuntutan yang selalunya.

Akhir ini baru manusia tahu-
Sombong kita ini lagi kerdil berbanding virus ini.
Aku yang terlalu sibuk menyibukkan diri sebelum ini juga.. Ya, beginilah.
Termenung akhirnya balik singkap pintu, sambil secawan teh di tangan kanan.
Membuat perhitungan melalui antologi nikmat hidup yang seharusnya dinilai lebih baik sebelumnya.
Menghayati patah hati sebelum ini yang belum benar-benar sembuh.
Rupanya.

Akhirnya, akurlah...
Jangan terlalu keras dengan diri kamu
Tidak sepanjang-panjang proses ini kamu perlu berlaku tegas
Pura-pura kuat
Ini bukan pusat ketenteraan
Maafkan diri kamu juga
Dia juga lelah mempertahankan positifnya.
Kan sudah bilang, dunia juga sedang menghayati penatnya

Tarik nafas sedalamnya.
Sudahlah... berehat sekejap, inilah masanya.
Proses ini perlu waktu, bukan boleh dipaksa-paksa sembuh.

Dah, hirup teh itu. Dah makin sejuk.

Related Articles