May 3, 2020

#Semoga Alam berhenti mentertawakan kita

Kalau boleh untuk terus menghitung,
Sejangkau 1 tahun lagi sepatutnya bakal menjadi tahun yang ke-10
Panjang sekali kan tempohnya?
Maaf, aku masih berkira-kira.
Kerana, tempoh itu emosi aku terlalu tinggi dan begitu besar nilai sentimen-nya.
Tidak pula aku turutkan katamu suatu tika dulu untuk tidak terus menghitung.
Bagi kamu, tempoh akan kekal menjadi tempoh. Yang pentingnya keberadaan kita bersama.
Ya, itu dulu. Jangan kamu terkesan lagi ya.

Ya, kamu lah.
Yang sentiasa bersama sehelai sapu tangan keromok sedia tergenggam di tangan kanan.
Kebiasaannya, tersimpan dalam beg kecil, hanya kamu keluarkan ia,
bila peluh bersayut di batang hidung juga di dahi.
Kamu yang tidak gemarkan panas. Peluh. Tidak selesa. Akan ada sebotol wangian dalam dampinganmu. Untuk kamu picitkan mesra bila terasa tidak senang pada peluh yang berkroni ditubuh.
Kamu yang tidak suka makan ikan, tapi ikan lah yang menenangkanmu.
Komposisi bahagian ayam dalam hidangan  yang akan aku pastikan bukan bahagian peha yang kamu terima. Juga yang bila lagi berfikir, sambil telunjuk yang terparkir di hujung bibir juihmu, digerak-gerak manja. Kadang itu didagu, sambil mengoles janggut perapan kegemaran.
Kamu mudah dedar. Jaga kesihatan, makan juga.
Pasti kamu jemu dengarkan ini “minum air putih yang banyak ya”
Ya, aku terlalu mengenali kamu.

Bagaimana kamu harini, sihat?
Pasti sekali kamu lagi bahagia.
Atas perkara-perkara yang kamu begitu menginginkan ia terjadi selama ini,
Atas doa-doa yang aku pasangkan. 
Aku fikirkan, kamu sangat perlukan setiap darinya. Seperti yang aku bilang dalam pesanan terakhirku-
Tidak sama sekali aku mahu yang buruk-buruk terjadi keatas kamu.
Biarlah yang baik-baik saja ya.
Kalau dulu, aku fikirkan kita bakal terus ada.
Hehe tidak. Tidak lagi sama sekali hari ini.
Hebat bukan perancangan Tuhan?
Semakin hari aku semakin berasa ini yang sebetulnya harus berlaku.

Sinis sekali alam, kali terakhir kelibat kita bersama
Tidak sama sekali seperti yang aku jangkakan episod ini bakal berulang lagi.
Mungkin kerana aku terlalu takutkan duka silam
Pasti saja dia mentertawakan kita awal dulu. Lagi lagi ke aku.
Lucu sekali pada dia mengajarkan aku erti sebuah kehilangan,
lagi.
Atau mungkin dia mentertawakan aku kerana sebetulnya sudah sekian lama aku tidak lagi memiliki kamu.
Tapi belum aku sedar-sedar ketika itu.

Tapi tak apa,
Kerana kehilangan juga separuh dari epilog dalam berkasih sayang kan?
Aku terima.
Aku semakin baik tuntasnya.
Kamu jangan khuatir.
Ada Tuhan kita yang menjagakan aku.
Penuh sekali hati aku saat ini.
Ini juga sebahagian doa kamu, kan?
Kalau ya, terima kasih.
Terima kasih kerana melepaskan aku pergi.
Aku senang bercerita tentang progress terubatkan lukaku bersamanya saban waktu.
Sehari-hari aku ini sangat merasakan Dia begitu dekat sekali dalam mendengarkan aku.
Seperti Dia sedang tersenyum mengiya setiap hikmah rahsiaNya yang perlahan-lahan aku temui.

Cumanya... kamu jangan datang lagi ya?
Biar antara kita tiada apanya lagi.
Seperti detik ini.
Supaya jarak ini membuatkan kita menghormati memori lama.
Supaya juga, alam berhenti mentertawakan kita.

Related Articles