Dec 31, 2019

#Pergi dengan pesan

Lose you to love me // SG

Merah sekali matahari pagi ini,
Diajak kita bergurau senda
Katanya, kesakitan ini bakal dilabuh tirai.
Hari ini, adalah hari terakhir kamu menghayati, sebelum bersurai.

Esok, bermula kronologi baru.
Segar, sesegar kiriman sakit Tuhan beri kamu pengakhiran ini.
Begitu juga dengan nafas baru ini.
Ambillah. Simpankan dia.
Nampaknya dia kebiruan, disentuh terasa nyaman.

Kamu bakal tersenyum lagi
Kerana yang sakit itu, didadamu. Bukan dibibirmu.
Kamu akan terus melangkah pergi
Kerana yang patah itu hatimu, bukan kakimu.

Takmahu aku lihat kamu terusan menzalimi diri
Ia begitu rapuh akhir-akhir ini.
Ada beberapa kali aku tertangkap melihat kamu menepuk bahu,
Sambil kamu bilang—
“Kesiannya diri ini”

Takmahu aku kamu terperangkap dalam lamunan panjang,
Terusan sakit mahu dikenang
Nangis sunyi,
Pasang muzik, lagu sedih buai sepi

Kamu bakal sembuh
Hati kamu bakal pulih
Dunia ini terlalu singkat untuk dibazirkan dengan drama-drama mengecewakan
Berganjak, kamu bakal berganjak kedepan
Tak akan aku biar kamu tunduk lagi pada perasaan
Masa lalu itu harus kamu merdekakan dari penjajahan.

Tak mengapa—
Walau ia sebuah pusiran terbiasa
Andai ada satu hari penat tersisa
Aku pasti izinkan kamu menangis
Tapi jangan lama-lama.
Jangan sampai air mata itu habis.
Ia bukan hanya berfungsi bilamana sedih
Sebahagiannya nanti bakal kamu guna untuk episod keikhlasan, ketulusan dan kesyukuran.

Sampai masa—
Jika perlu kamu bercerita untuk legakan sesak dada
Dipersilakan.
Mengadulah sebanyak yang kamu mahukan.
Yang Esa itu ada,
Dia yang setia.

Sakit itu begitu menyesakkan, bukan?
Tapi beginilah Dia mahu mendidik kamu.
Lepas ini kamu serba tahu,
Tiada lagi ruang kelemahan yang bakal ditikamkan bertalu
Dan ya—
Dari sebuah kisah yang ternyata berakhir buruk
Yakinilah bahawa dia adalah cerita terbaik hikmah tersorok.

//Izyani Khairi


Related Articles