Jul 5, 2018

#Bunga Lindunganku

Selepas aku kehilangan sebuah rumah yang aku terus-terusan idamkan itu,
Aku menyemai baik sekuntum bunga lindungan
Diselia baik oleh Sang Sepi
Dia jenguk setia--
Pengkhabaran baik hari-hari dibilang tuan kian bermaya.

Setiap malam, Sepi datang menguak daun pintu.
Pasti saja aku tertoleh dalam sedang membelek bunga
Yakin sekali Sepi, aku bakal sembuh.
Terhirupkan harum perlindungan teguh.

Sesekali
Pujuk dia pada aku, berehatlah. 
Ada dia dalam sehari-hari aku untuk tengokkan bunga.
Ada sesekali aku lihat Sepi taruh baja,
Mahu lihat bunga kembang segar,
Mahu lihat aku senyum tegar.

Tiba hari itu, Sepi monyok muka
Bilang dia-- "seketul batu hempap bunga kita.."
Bilang dia lagi, bunga kian terperonyok
Batu itu besar, siapa sangka.

Gelisah Sepi saban hari
Dia sudah jaga baik-- aku tahu.
Amanah aku titip, sudah dijagaNya rapi.
Cuma ada pula saja ketahanan dan kesabaran dirinya diuji.

Tiada logiknya apa-apa harapan lagi.
Yang sedang aku bantu Sepi mengalih batu
Dalam pada itu juga aku yang terlalu memerlukan bunga
Dia cuma harapan aku yang terakhir
Malangnya—
Apa dia masih ada lagi untuk aku suburkan atau tidak..?

//Izyani Khairi

Related Articles