Jul 2, 2017

#20- Baiknya Dia

Sekitar 1 tahun yang lalu, berjela panjangnya aku benihkan doa.
Mengemis aku perincikan setiap satu--
agar jelas dan termaktub segala permohonan dan permintaan.
Aku ceritakan pada-Nya, berwarna-warni bahasa syukur aku susunkan.

Aku punya manusia keliling aku yang menghargai lembaran hari indah aku ini.
Terima setiap daki mahupun semburan perfume diri.
Aku minta didekati mereka mereka yang bersih budi pekerti luhur dari naluri.
Aku minta disatukan hatiku bersama hati mereka yang Dia jaga rapi.
Aku minta iman aku teguh murni.
Aku minta kasih keluarga terus harmoni.
Juga, aku minta Dia jauhkan aku dengan sang penkhianat rohani.

Baiknya Dia...
Dia perkenankan setiap satu.
Banyaknya sebelum ini, tak aku ucap syukur
Aku malu-- diuji sikit, melalak tak berlagu.
Walhal, inilah semua yang aku perlu.
Yang aku mahu.

Aku malu.
Bila senang lapang dada--
Solat aku laju.
Usai salam, langsung berlalu.
Tiba mana murung pilu--
Jelas setiap apa aku mahu
Terdesak-desak minta Dia iringi doaku.
Tersedak-sedak di hujung tadahan tanganku.
Aku malu.. Kerna dalam pada itu,
Doa aku masih Dia jawab setiap satu.

Dosa usah tanya--
Kalau sekarang diminta datang mengadap cerita
belum tentu aku berani angkat muka.
Habis terkoyak semua drama leka.
Malu...

Baiknya Dia...
Ampunkan aku, Sang Pencipta Diri,
Teruslah disisi
Jangan biar aku terpesong lagi
Aku takmahu lalai lagi
Teruslah temani
Sungguh aku syukur atas penambahan angka usia ini.
Bergandalah nampaknya usaha aku, untuk bertemu-Mu di Sana nanti.

Buat kalian yang terus mengingati,
dengan rendah diri
Terima kasih tiada henti
semoga terus kalian, Tuhan kita rahmati.

//Izyani Khairi

Related Articles