Nov 24, 2015

#Hebatnya 'sayang'

Sekarang keliling aku ini penuh manusia.
Jadi, kesempatan ini aku curi curi nilai teletah tiap satunya.

Tertangkap tak sengaja mata aku pada satu pasangan sikh. (Alah yang berjambul dihadapan kepala)
Saiz mereka tak jauh beza. Sama tinggi sama bidang besarnya.
Dari jauh aku perasankan, sang isteri sibuk berbual melalui telefonnya. Berkerut dahi serupa bicarakan isu dunia.
Di tepi, kesayangan suami setia menjinjit setiap satu keperluan yang dipilih untuk diborong bersama.
Perlahan, walau lihat si isteri sibuk di dalam bual taliannya, diambilnya satu satu barang tetapi masih ditanya kepastian pada sang isteri. Seperti--
"Apa barang ini jadi keperluan mereka berdua?"
Jika ya, diangguk lalu dibimbitnya. Jika tidak, digeleng lalu diletakkan semula. Manis aturan perbuatan mereka. Hebat rasa sayang mereka. Saling memahami hanya guna isyarat tangan, kepala dan mata.

Tertoleh pula aku pada seorang bapa muda. Usianya aku jangka seawal 30-an.
Yang menarik perhatian aku adalah betapa setianya dia membontoti anak kecilnya.
Bersama si kecil itu bola kecil lantun biru gelap warnanya. Dilantun bola tersebut oleh si kecil sekuat hati-- gaya melepaskan geram ibarat tekanan pada sesuatu perkara.
Lalu, terkepak kepak pula si bapa mengejar bola kecil halus itu. Tiba satu momen dimana anak kecilnya sibuk juga mencari bola biru itu, terhantuk pula kepalanya dimeja hadapannya. Melalak tak terkira.
Sedikit lucu kejadian itu tapi tahu aku, tak sepatutnya aku ketawa.
Dalam jatuhnya simpati, sama sama aku mencari bola kecil yang hilang melantun.
Dah aku temui, terkesima aku melihat betapa gigihnya sang bapa yang cuba mententeramkan anaknya, tertonggek tonggek meniarap mencari bola yang dah pun aku temui. Aku yang malu tapi aku terharu.
Hebatnya bapa ini curahkan rasa sayangnya. Tertonggeng terbalik caranya.

Semalam sahaja baru aku dengar ucapan sayang ayah pada mak. Dibawa balik oleh ayah limau bali seguni. Kegemaran mak.
Teruja mak berbaur hairan. Sampai tak tertanggung mulutnya nak menahan satu soalan yang sedia ingin dia tahu jawapannya;--
"Beli banyak banyak siapa nak perhabis ni?"
Jawab ayah-
"Beli sebab teringat ada penggemarnya. Penggemarnya lah habiskan"
Ringkas jawapannya. Namun tersembol lah daya sayang ayah terhadap mak dengan teringatkan mak akan kegemarannya.

Hebatnya manusia keliling aku tebarkan sayang. Eh, hebatnya sayang tu. Makna yang sama cuma cara penyampaiannya yang berbeza beza. Jadi aku belajar, untuk disayang, aku dulu harus beri sayang :)
//Izyani_khairi

Related Articles